Ashleigh Barty menyedari ia akan menjadi seminggu yang sukar untuk dia beraksi dalam Kejohanan Tenis Terbuka Perancis selepas bertekad untuk beraksi dalam kesakitan di Roland Garros.

Barty -- Juara kejohanan di Paris itu pada 2019 -- terpaksa mengambil waktu rawatan ketika menentang Bernarda Pera dalam perlawanan pusingan pertama awal pagi tadi.

Pemain nombor satu dunia dari Australia itu bergelut dengan kesakitan di pinggulnya tetapi masih mampu meneruskan kemaraan berkat kemenangan 6-4, 3-6, 6-2.

"Ia akan menjadi sedikit sukar minggu ini. Saya fikir menjelang hujung minggu ini, ia akan menjadi lebih sakit di pinggul kiri saya, di mana amat jelas ia memerlukan sedikit bantuan hari ini untuk melegakannya sebaik mungkin," kata pemain berusia 25 tahun itu dalam sidang media.

"Saya tidak mahu berselindung bahawa saya tidak berada dalam keadaan 100 peratus tetapi saya boleh jamin yang saya akan turun dengan sikap yang betul setiap hari dan sedia menghadapinya dan memberikan segala-galanya tidak kira apa yang berlaku.

"Kami yakin dapat menyediakan tubuh saya di tahap yang saya boleh bersaing. Kami berada di sini, kami akan berjuang, kami memiliki peluang dan itulah yang kami perlu lakukan," katanya.

Seterusnya, Barty akan menghadapi Magda Linette selepas pemain Poland itu mengatasi Chloe Paquet untuk ke pusingan kedua.