Daniil Medvedev mengetepikan cabaran Felix Auger-Aliassime untuk layak ke final grand slam ketiganya dan yang kedua dalam Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Pemain Russia itu berdepan cabaran sengit dalam set kedua tetapi Auger-Aliassime tidak dapat mempertahankan kelebihan 5-2 untuk Medvedev bangkit dan kembali menguasai permainan dalam set ketiga sebelum memutlakkan kemenangan 6-4, 7-5, 6-2 dalam perlawanan separuh akhir berkenaan.

Ia bermakna pemain itu, yang tewas kepada Rafael Nadal dalam final di Flushing Meadows pada 2019, akan kembali bersaing di peringkat sama dalam pemburuan gelaran grand slam pertama sepanjang kariernya.

Medvedev, yang juga merupakan pemain nombor dua dunia, kelihatan berada dalam keadaan terbaik untuk berdepan sama ada Novak Djokovic atau Alexander Zverev dalam penentuan gelaran esok.

Dia menyifatkan aksi menentang Nadal dalam final lima set dua tahun lalu sebagai satu perlawanan gila dan berharap dapat memenanginya dalam edisi kali ini.

"Ia pasti akan menjadi satu lagi perlawanan gila hujung minggu ini, saya harap dapat memenanginya kali ini," katanya.