Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, akan berentap dengan bekas rakan sepasukan dalam acara 100m wanita daalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, bermula hari ini.

Zaidatul akan turun selaku pilihan utama untuk merangkul gelaran ratu pecut Terbuka Malaysia.

Dia akan mewakili Angkatan Tentera Malaysia dalam acara 100, 200 dan 4x100m.

Lebih menarik, Zaidatul akan berentap dengan bekas rakan sepasukan, Siti Fatimah Mohamad dan S. Komalam Shally.

"Mereka akan memberikan saingan baik untuk saya menampilkan larian yang berkualiti," katanya.

Zaidatul meraih pingat emas 100m Terbuka Malaysia 2016.

Dia pernah memecahkan rekod kebangsaan, 11.45 saat, ketika menyertai kejohanan di Afrika Selatan tahun lalu, namun rekod itu tidak diiktiraf ekoran masalah teknikal.

"Kejohanan ini akan memberikan tekanan kepada fizikal dan mental dan ia akan membantu saya dalam usaha memperbaiki rekod kebangsaan."