Kejohanan Renang Terbuka Malaysia meneruskan cabaran pada hari kedua di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil hari ini yang menyaksikan perenang-perenang negara tidak berdepan masalah untuk mara ke final selepas sesi saringan pada sebelah pagi.

Antara perenang yang menjadi tumpuan dalam kejohanan ini ialah Tern Jian Han yang mewakili Johor.

Setelah unggul dalam acara 50 meter kuak lentang semalam, Jian Han kini dalam misi memburu lebih pingat pada hari kedua ini dalam acara 100 meter kuak lentang lelaki.

Jian Han, yang memecah rekod 16 tahun milik Alex Lim Keng Liat dalam acara 50 meter kuak lentang dalam Sukan Komanwel Gold Coast bulan lalu, ingin memecah lebih banyak rekod dan kali ini cabaran buatnya ialah dalam acara 100 meter kuak lentang.

Jian Han layak ke final setelah menamatkan saringan kelima di tempat ketiga dan juga ketiga terpantas secara keseluruhan dengan catatan 1 minit 01.09 saat di belakang perenang Lithuania dan India.

Sementara itu, dalam acara 100 meter kuak lentang wanita pula, seramai empat perenang Selangor berjaya mara ke final, namun tumpuan pada aksi ini nanti ialah Caroline Chan dan juga Nessa Yip.

Perenang dari Melaka, Goh Chia Tong, juga perlu diberi perhatian selepas menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan dengan catatan masa 1 minit 8.85 saat