Iga Swiatek meneruskan rentak kemenangan yang cemerlang apabila mara ke final Internazionali d'Italia selepas menewaskan Aryna Sabalenka 6-2 6-1.

Pilihan utama, Swiatek, kini merekodkan 26 perlawanan tanpa kalah, bermula sejak pertengahan Februari, dengan kemenangan ke atas Bianca Andreescu membawa kepada pertembungan separuh akhir dengna Sabalenka, yang mengatasi Amanda Anisimova.

Dua pemain itu saling menguji kemampuan masing-masing sebelum Sabalenka melakukan kesilapan membenarkan Swiatek mendahului 3-1 di awal permainan.

Pemain kelapan dunia, Sabalenka, pilihan ketiga kejohanan, cuba untuk menghadirkan tentangan sebelum Swiatek memenangi set pertama dengan mudah.


Sabalenka sekali lagi berdepan kesukaran apabila gagal membalas serangan demi serangan pemain nombor satu dunia, Swiatek, yang cemerlang dalam set kedua apabila mendahului 4-0.

Swiatek segera melengkapkan kemenangan, di sebalik rehat perubatan yang diminta lawan, dan kini telah memenangi tiga aksi Jelajah WTA ke atas Sabalenka pada 2022.

Pemain berusia 20 tahun itu meneruskan cabaran untuk meraih gelaran keempat WTA 1000 berturut-turut dan trofi kelima berturut-turut berdepan Ons Jabeur malam ini.