Roger Federer mara ke final Terbuka Halle dengan kemenangan bergaya ke atas rakan beregu terbaru Andy Murray dalam saingan Wimbledon nanti.

Pemain kelahiran Perancis, Pierre-Hugues Herbert, pemenang grand dalam acara beregu yang meletakkan sasaran menjuarai acara perseorangan di gelanggang rumput, ternyata tidak setaraf dengan legenda Switzerland itu apabila tewas 6-3, 6-3.

Kemenangan meyakinkan itu membawa Federer ke final esok berdepan pemain kelahiran Belgium, David Goffin.

Pemain berusia 37 tahun itu meletak sasaran menjuarai gelaran Halle yang ke-10, menjadikan dirinya sebagai pemain lelaki kedua selepas Rafael Nadal untuk menjulang gelaran lebih daripada 10 kali
dalam mana-mana kejohanan.

Juara grand slam 20 kali itu merampas satu permainan daripada Herbert sebelum mengawal rentak set pertama. Beberapa siri pukulan yang berkualiti dipamerkan Federer gagal disaingi oleh Herbert.

Ternyata pengalaman menjadi pemisah buat kedua-dua pesaing dengan Federer merakamkan kemenangan untuk ke final di Gerry Weber Stadion.

"Ia sangat baik," kata Federer.

"Saya berasakan telah mempamerkan aksi yang berkualiti. Tidak bergelut ketika melakukan servis, saya memiliki banyak peluang sepanjang permainan dan menggunakannya dengan sebaik mungkin."

Herbert minggu ini telah mengesahkan akan beraksi dalam Wimbledon bersama Murray, yang kembali pulih daripada kecederaan. Pemain berusia 28 tahun itu menjuarai gelaran beregu Wimbledon ketika bergandingan bersama Nicolas Mahut tiga tahun lalu.

Dalam separuh akhir pertama Halle, rentetan lapan kemenangan Matteo Berrettini di permukaan rumput berakhir apabila juara di Stuttgart minggu lalu itu tunduk kepada Goffin yang meraih kemenangan 7-6
(7-4) 6-3.

Goffin meraih penampilan final pertamanya dalam jelajah sejak muncul naib juara dalam Pusingan Akhir ATP di London, di mana dia mengalahkan Federer dalam separuh akhir untuk kemenangan tunggalnya daripada lapan pertemuan di antara kedua-duanya.