Grigor Dimitrov mempamerkan kebangkitan untuk merakamkan kemenangan paling manis dalam kariernya apabila menyingkir dan meleburkan harapan Roger Federer untuk mendakap grand slam ke-21 dalam aksi suku akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS), sebentar tadi.

Pernah dikenali dengan jolokan 'Baby Fed', Dimitrov gagal mempamerkan potensi sebenar pada permulaan kariernya apabila gagal meneruskan rentak cemerlang apabila layak ke separuh akhir Wimbledon pada 2014.

Dia melangkah ke peringkat sama dalam Terbuka Australia 2017 dan kini mula mempamerkan kemampuan sebenarnya apabila melangkah ke suku akhir di Flushing Meadows.

Pemain di ranking ke-78 dunia itu kelihatan di tahap terbaik dan tidak mampu ditandingi Federer, yang mudah melepasi empat pusingan pertama sementara juara bertahan, Novak Djokovic, tersingkir dalam pusingan 16.

Bagaimanapun, Federer terlebih dahulu merampas set pertama, namun Dimitrov tidak terkesan apabila ketinggalan apabila bangkit untuk mengejar Federer.

Wakil kelahiran Bulgaria itu ternyata berada dalam kondisi yang lebih baik berbanding Federer apabila mengikat perlawanan dengan 2-2 sehingga legenda Switzerland itu terpaksa mengambil tempoh rehat kerana mengalami kecederaan.

Federer tidak lagi menampilkan permainan bagus dalam set penentuan dan Dimitrov mengawal permainan untuk melengkapkan kemenangan 3-6, 6-4, 3-6, 6-4, 6-2 selepas beraksi selama tiga jam 12 minit untuk berdepan Daniil Medvedev dalam separuh akhir.