Belinda Bencic merupakan wakil Switzerland terakhir dalam saingan perseorangan Terbuka Amerika Syarikat (AS), sesuatu yang tidak membuatkan dia teruja.

Bencic melangkah ke separuh akhir grand slam buat kali pertama semalam menerusi kemenangan straight set ke atas Donna Vekic.

Dia yang bakal berdepan Bianca Andreescu atau Elise Mertens untuk menempah slot ke final, membawa bendera negaranya selepas Stan Wawrinka dan Roger Federer tersingkir dalam suku akhir.

"Ini bukanlah berita yang baik. Saya tidak gembira sebenarnya," kata Bencic.

"Saya agak terkejut. Ia lebih manis jika Wawrinka dan Federer turut ke separuh akhir. Tetapi saya gembira kerana dapat melakukannya demi mereka dan tidak mengecewakan Switzerland."

Ia merupakan perjalanan yang sukar buat Bencic untuk sampai ke tahap ini. Dia pernah berada di ranking ketujuh dunia tetapi terkeluar daripada kelompok 300 terbaik kerana dihimpit beberapa siri kecederaan.

"Saya telah mengimpikan saat ini tetapi tidak tahu apa yang bakal berlaku. Buat masa ini, saya hanya perlu membuat persediaan untuk menghadapi perlawanan seterusnya.

"Saya berusaha keras untuk sampai semula ke tahap ini. Tidak menyangka akan mampu melakukannya, jadi ia adalah satu pengalaman yang menarik.

"Impian setiap pemain adalah menjuarai kejohanan terbesar. Saya berasakan menjadi pemain nombor satu dunia atau memenangi grand slam adalah impian saya. Namun, perjalanan itu masih lagi jauh.

"Saya akan cuba mengambil satu langkah demi satu langkah dan memperbaiki setiap kelemahan yang dimiliki.

"Anda tidak boleh berfikir terlalu jauh kerana ia akan memberikan tekanan dan menyukarkan diri sendiri."