Novak Djokovic berasakan bahawa dia telah mempamerkan aksi terbaiknya sepanjang tahun ini ketika mengatasi Federico Coria bagi kemenangan bersejarahnya dalam Kejohanan Tenis Terbuka Belgrade malam tadi.

Pemain nombor satu dunia itu hanya memerlukan waktu hampir sejam untuk menewaskan Coria 6-1, 6-0 untuk mencongak pertemuan dengan Andrej Martin dalam separuh akhir di negara kelahirannya.

Kemenangan itu membolehkan pemain berusia 34 tahun berkenaan mengatasi legenda tenis Argentina, Guilermo Vilas, selaku pemain di kedudukan kelima meraih kemenangan terbanyak dalam era terbuka dengan 952 kemenangan.

Dia kini ketinggalan 70 kemenangan di belakang pemain di tangga keempat, Rafael Nadal (1,022), manakala Ivan Lendl (1,068) ketiga dan Roger Federer (1,243) kedua. Rekod tertinggi masih milik Jimmy Connors dengan 1,274 kemenangan.

Djokovic memenangi 53 daripada 75 mata keseluruhan ketika menewaskan Coria dan hanya melepaskan satu game untuk kekal berada di landasan terbaik bagi mahkota kejuaraan ketiganya di Serbia menjelang Terbuka Perancis.

"Ia persembahan yang hebat," kata Djokovic dalam temu bual di atas gelanggang.

"Ia mungkin salah satu persembahan terbaik saya. Jika tidak, ia mungkin persembahan terbaik saya tahun ini. Saya berasa hebat sejak mata pertama.

"Ia merupakan perlawanan pertama saya menentang Coria dan saya mencuba menerapkan aksi agresif sejak awal permainan dan tidak membenarkannya untuk terlalu banyak bermain. Saya bermain dengan luar biasa dalam set kedua, amat sempurna.

"Bukan selalu dapat bermain seperti ini tetapi saya fikir ia pasti akan membantu saya untuk berasa lebih baik di atas gelanggang. Saya fikir segala-galanya berjalan dengan baik buat saya hari ini," katanya.