Stefanos Tsitsipas menyanjungi Daniil Medvedev atas persembahan jitunya dalam separuh akhir Kejohanan Tenis Terbuka Australia malam tadi.

Medvedev menempah pertemuan final dengan Novak Djokovic di Melbourne selepas memperagakan persembahan yang memberangsangkan untuk kemenangan 6-4, 6-2, 7-5 ke atas Tsitsipas.

Pemain pilihan keempat dari Russia itu menjadi pemain ke-25 dalam era terbuka untuk mencatat 20 kejuaraan dalam siri Kejohanan Jelajah tatkala dia meneruskan penampilannya yang luar biasa.

Tsitsipas, yang tewas enam daripada tujuh pertemuan dengan Medvedev, menyanjungi naib juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2019 itu berhubung prestasinya.

"Semua orang melihat apa yang baru berlaku di luar sana. Saya orang terakhir yang seharusnya anda tanyakan mengenainya," kata pilihan kelima dari Greece itu dalam sidang akhbar.

"Saya hanya fokus terhadap permainan sendiri dan dia membuktikan keupayaannya. Dia menjadi Daniil Medvedev yang sebenar dalam tiga set berturut-turut."




Medvedev mara dengan menghasilkan 46 pukulan selain hanya melakukan 21 kesilapan sendiri sementara sekali sahaja melepaskan servis.

Dia memburu gelaran Grand Slam sulungnya ketika berdepan Djokovic esok, pemain yang pernah ditundukkannya dalam tiga daripada empat pertemuan sebelumnya.

"Saya tidak akan terkejut sekiranya Daniil mengungguli kejohanan ini. Tetapi ini adalah senario yang pelik," kata Tsitsipas.

"Saya menentang Rafa Nadal di sini dua tahun lalu. Persembahannya pada hari itu adalah luar biasa maka saya yakin 100 peratus dia akan memenangi kejohanan. Dan saya akhirnya silap.

"Siapa tahu? Saya tidak tahu. Djokovic juga beraksi dengan baik. Saya bukannya laman sesawang perjudian. Saya tidak tahu apa yang harus dikatakan. Mungkin Medvedev, ia pencapaian yang bagus untuknya, baik untuk tenis."