Juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Naomi Osaka, melepasi ujian getir sebelum menewaskan Hsieh Su-wei bagi menempatkan diri dalam pusingan 16 Terbuka Australia, sebentar tadi.

Bintang Jepun itu tewas set pertama dan ketinggalan 1-4 dalam set kedua sebelum bangkit mencatatkan kemenangan 5-7, 6-4, 6-1 dalam pertarungan yang memakan masa hampir dua jam itu.

Osaka, yang menyasarkan untuk menjadi pemain wanita pertama meraih dua gelaran grand slam berturut-turut selepas Serena Williams melakukannya pada 2014 hingga 2015, hampir disingkirkan dalam aksi di Melbourne Park itu.

Pilihan keempat kejohanan itu jelas memaparkan kekecewaan berikutan beberapa siri kesilapan yang dilakukannya dalam set pertama.

Namun, selepas memenangi lima game berturut-turut dalam set kedua, dia tidak lagi memandang ke belakang.

Aksi penuh bertenaga dapat disaksikan di Arena Margaret Court apabila kedua-dua pemain saling berkejaran mata.

Su-wei dilihat enggan mengalah mahupun memberi sebarang ruang mudah buat Osaka.

Dia yang sentiasa bersemangat dan agresif, bagaimanapun, seakan-akan hilang arah selepas Osaka memperoleh empat mata berturut-turut sebelum kembali mematikan servis pemain itu dalam game keenam.

Kejayaan itu berjaya membantu Su-wei merampas set pertama apabila pemain pilihan ke-28 itu memanfaatkan 20 'unforced error' yang dilakukan Osaka dalam cuaca panas terik di Melbourne.

Kekuatan pergelangan tangan, pukulan di depan jaring dan pukulan kilas dimanfaatkan sepenuhnya Osaka bagi mengejar Su-wei yang menghampiri kemenangan dalam set kedua.

Selepas ketinggalan 1-4, dia kembali memantapkan aksi untuk memenangi lima game berturut-turut bagi mengungguli perlawanan dan akan membuat perhitungan sama ada dengan Anastasija Sevastova atau Wang Qiang dalam pusingan berikutnya.