Novak Djokovic percaya bahawa dia akan mencapai kemuncak prestasi dalam Terbuka Australia pada waktu yang tepat selepas berasakan dia mula meniti laluan itu untuk melolosi separuh akhir.

Djokovic menundukkan pemain peringkat kelayakan dari Russia, Aslan Karatsev, 6-3, 6-4, 6-2, di Rod Laver Arena, malam tadi, untuk keputusan straight set ketiganya di Melbourne.

Pemain Serbia itu memenangi kejohanan Grand Slam berkenaan setiap kali dia ke separuh akhir di sebalik kebimbangan kecederaan perut yang membangkitkan keraguan terhadap kemampuannya memenangi gelaran utama ke-18, Ahad ini.

Begitupun, Djokovic yang menolak untuk membincangkan tahap kecederaannya itu, menjelaskan prestasi terbaiknya hadir pada waktu yang tepat sebelum dia menghadapi Daniil Medvedev atau Stefanos Tsitsipas yang akan bertarung petang ini.

"Baiklah, yang pertama sekali saya ingin memberi penghargaan kepada Karatsev atas cabaran hebat yang diberikannya. Mungkin hari ini tidak memihaknya tetapi dia meraih kejayaan besar dalam penampilan pertamanya dalam Grand Slam apabila mara sejauh separuh akhir. Tahniah atas kemaraan yang hebat," katanya dalam sidang media.




"Saya berasa dalam prestasi terbaik malam ini. Baik secara fizikal mahupun mental. Saya dapat memukul bola dengan sangat baik termasuk kederasannya. Tiada waktu lain sebaik ini. Servis yang baik membantu saya keluar daripada masalah di penghujung set kedua. Saya sangat gembira dengan persembahan ini.

"Ia hadir pada waktu yang tepat. Sebelum perlawanan akhir Grand Slam, tidak mungkin ada detik yang lebih baik buat saya untuk menjelmakan permainan hebat. Dalam situasi ini, berkali-kali saya rasa dapat mengumpul kesemua elemen yang diperlukan untuk membolehkan saya beraksi di puncak pada waktu yang tepat, ia berulang kali berlaku jadi sudah tentu saya sangat gembira.

"Saya juga gembira kerana dapat berehat selama dua hari. Pemulihan menjadi keutamaan. Sudah cukup saya beraksi. Saya berasa hebat di atas gelanggang. Tidak kira siapa yang jua yang bakal saya hadapi Ahad ini, saya bersedia untuk berjuang untuk perlawanan paling sukar dalam kejohanan ini, tidak syak lagi.