Marin Cilic berasa dia berada dalam keadaan sangat baik untuk mengelakkan berulangnya penyeksaan dalam final grand slam selepas mengetepikan Kyle Edmund untuk membuka langkah baru dalam Kejohanan Terbuka Australia, hari ini.

Cilic tampil selaku pemain pertama dari Croatia yang layak ke final di Melbourne Park, sekali gus menamatkan rentetan impian Edmund dengan kemenangan 6-2, 7-6 (7-4), 6-2 dalam perlawanan separuh akhir mereka.

Pemain pilihan keenam itu akan berdepan sama ada Roger Federer atau Chung Hyeon dalam final ketiganya dalam satu kejohanan grand slam Ahad ini – habuan terhadap segala kerja kerasnya dalam separuh akhir itu di Rod Laver Arena.

Cilic berlinangan air mata ketika berhempas-pulas dengan kakinya yang melecet dalam kekalahan final Wimbledon kepada Federer tahun lalu.

Tetapi pemain berusia 29 tahun itu menegaskan dia dalam keadaan cukup baik terhadap potensi untuk melakukan satu lagi perhitungan dengan bintang Switzerland itu hujung minggu ini.

“Saya benar-benar berasa bagus. Hari ini adalah tahap kesengitan yang berbeza dengan pertemuan menentang Rafa (Nadal dalam suku akhir).

“Dalam perlawanan itu, saya banyak meningkatkan tahap permainan saya dan tenaga saya di atas gelanggang benar-benar bagus,” kata Cilic dalam temubual sejurus selepas perlawanan petang tadi.

"Keseluruhannya, saya benar-benar berasa bagus, terima kasih kepada jurulatih kecergasan dan pasukan saya. Mereka membuatkan saya bekerja keras.

"Apa yang bagus ialah saya kini mempunyai rehat dua hari, maka ia akan menjadi sesuatu yang baik pada Ahad ini,” katanya lagi.

Edmund menerima rawatan selepas set pertama dan walaupun tidak jelas apa masalah dihadapinya, Cilic berasakan pemain Britain itu tidak dapat bergerak dengan bebas.

"Saya sedar dalam game ketiga pada set ketiga, ketika saya mematikan pukulannya, dia membenarkan bola melepasinya. Saya dapat lihat pergerakannya agak terhalang," kata Cilic.

Habuan awal Cilic ialah dia akan mendaki ke tangga ketiga dalam ranking dunia minggu depan susulan kemenangannya ke atas Edmund dalam separuh akhir hari ini.