Bianca Andreescu bakal beraksi dalam final grand slam pertamanya berdepan Serena Williams dalam Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas mengatasi Belinda Bencic dengan kemenangan straight set.

Andreescu dan Bencic sudah mengetahui bakal berdepan Williams dalam final selepas pemenang grand slam 23 kali itu mudah menyingkirkan Elina Svitolina dalam satu lagi separuh akhir di Stadium Arthur Ashe.

Pertembungan mereka merupakan salah satu perlawanan yang menarik apabila kedua-dua pemain memiliki kualiti yang hampir sama.

Bagaimanapun, kekuatan dalam setiap pukulan Andreescu menjadi pemisah, dengan pemain berusia 19 tahun itu bangkit daripada ketinggalan 5-2 dalam set kedua untuk merakamkan kemenangan 7-6 (7-3), 7-5.