Rafael Nadal mengetepikan Alexei Popyrin untuk mara ke suku akhir Kejohanan Tenis Terbuka Madrid yang menyaksikan Daniil Medvedev dan Stefanos Tsitsipas mengalami kekalahan mengejut.

Pemain nombor dua dunia tersebut mengintai gelaran keenam di tanah airnya itu apabila mara 6-3, 6-3 dalam tempoh 1 jam 2 minit, awal pagi tadi.

Popyrin, yang beraksi di peringkat 16 acara Masters 1000 buat kali pertama, memberikan aksi bertenaga dalam set pembukaan tetapi pemain Sepanyol itu tetap kelihatan selesa.

Nadal memanfaatkan empat daripada enam 'break point' untuk ke suku akhir buat kali ke-15, di mana Alexander Zverev akan menanti kelibatnya.

"Ia sukar," katanya dalam wawancara.

"Gelanggang hari ini licin, pergerakan menjadi sangat deras, sangat kering. Bola banyak melantun. Permulaannya sangat sukar.

"Dia dapat menyambut setiap pukulan dan membalasnya dengan tepat. Saya gembira dengan kemenangan ini. Ini adalah satu kemenangan yang penting, dia datang ke sini untuk beraksi dengan baik. Setiap perlawanan adalah sukar."



Zverev, yang memenangi gelaran itu pada 2018, mengalahkan pemain nombor satu Britain, Dan Evans, 6-3, 7-6 (7-3) untuk mengadakan pertemuan dengan Nadal.

Namun, pilihan kedua dan keempat, Medvedev dan Tsitsipas, menyaksikan perjuangan mereka berakhir di tangan Cristian Garin dan Casper Ruud.

John Isner dan Dominic Thiem akan saling berebut tiket ke separuh akhir selepas menumpaskan pilihan keenam, Andrey Rublev dan Alex de Minaur.