Coco Vandeweghe meneruskan rentaknya menumbangkan pemain utama dalam Terbuka Australia selepas membenam Garbine Muguruza dalam suku akhir, hari ini.

Terdahulu, pemain Amerika Syarikat itu melakar kejutan ke atas pemain no. 1 dunia, Angelique Kerber, dan pencapaian hebat itu diteruskannya apabila mengetepikan pilihan ketujuh, Muguruza, 6-4, 6-0.

Dalam aksi di Arena Rod Laver itu, Vandeweghe, yang menduduki ranking ke-35 dunia, mengatasi pencabarnya dari Sepanyol itu menerusi penguasaan dari garis belakang untuk tempoh hanya sejam 24 minit untuk mara ke separuh akhir Grand Slam buat julung kalinya.

Dia bakal berhitung dengan rakan senegaranya, Venus Williams.

Kemaraan Vandeweghe pada awalnya diragui selepas memulakan pertarungan dengan aksi goyah.

Dia melepaskan beberapa mata penamat sebelum berjaya mendahului 4-3 berikutan dua kesilapan yang dilakukan Muguruza.

Muguruza berpeluang untuk bangkit, namun Vandeweghe mengekalkan penguasaannya.

Set kedua menyaksikan Vandeweghe terus mendominasi sejak awal lagi. Muguruza gagal mencari jawapan kepada permainan lawan dari garis belakang sehingga kerap memerangkapnya.

Juara Terbuka Perancis itu hanya mampu mengutip 10 mata dalam set kedua untuk Vandeweghe menguasai permainan sepenuhnya.



Keputusan lain :


Perseorangan wanita - suku akhir:
Venus Williams mn Anastasia Pavlyuchenkova 6-4 7-6 (7-3)

Perseorangan lelaki pusingan 16:
Rafael Nadal mnGael Monfils 6-3 6-3 4-6 6-4