Pemain perseorangan lelaki negara, Shamirul Shahril Mohd Adam Das, mara ke suku akhir Kejohanan Tenis Remaja Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) Gred 4 di Kuala Terengganu, hari ini.

Shamirul, 17, mengejutkan pilihan kesembilan dari China, Lu Pengyu, dalam aksi tiga set 6-2, 3-6, 7-6(7) untuk bertemu pilihan keempat, Chen Yu Feng dari Taiwan, esok.

Mengiringinya ke suku akhir ialah Christian Didier Chin yang juga terpaksa menanti sehingga set penentuan untuk mengatasi wakil Thailand, Kasidit Samrej, 4-6, 6-1, 7-5.

Namun, perjuangan seorang lagi pemain negara, Darrshan Suresh, tersekat selepas tunduk kepada pilihan ketiga, Ryoma Matsushita dari Jepun 6-3, 2-6, 1-6.

Acara perseorangan wanita pula menyaksikan hanya seorang wakil Malaysia ke suku akhir menerusi pilihan kelapan, Sara Nayar, yang menewaskan Putri Sanjungan Insani dari Indonesia 5-7, 6-2, 6-2.

Menanti Sara esok ialah pilihan utama kejohanan dari Thailand, Mai Napatt Nirundorn.

Tiga lagi pemain, Uma Nayar, Syarifah Elisia Wan dan Syarifah Elsa Wan gagal meneruskan kemaraan susulan kekalahan kepada lawan masing-masing.

Uma dikecewakan pemain Sri Lanka, Anika Sereviratne, 3-6, 6-7(4) manakala Syarifah Elisia tewas straight set 6-7(3), 4-6 kepada pilihan ketiga, Shivani Amineni dari India.

Syarifah Elsa pula mengalami kekalahan kepada pilihan kedua dari Indonesia, Priska Madelyn Nugroho, 2-6, 1-6.