Rafael Nadal melepasi tentangan sengit Reilly Opelka untuk layak ke suku akhir Kejohanan Tenis Masters Indian Wells hari ini.

Nadal mempamerkan permainan penuh taktikal untuk mengatasi pukulan dan servis kencang lawan dari Amerika Syarikat itu sebelum menang tipis 7-6, 7-6.

Dengan 76 peratus kadar servisnya, Opelka memperoleh 26 winner dalam perlawanan itu tetapi jaguh Sepanyol berkenaan berhasil mencuri mata dari garisan belakang dengan pukulan topspin derasnya.

"Dia merupakan antara lawan paling sukar dalam jelajah ini," kata Nadal selepas perlawanan itu.

"Amat sukar untuk mengekang senjatanya dengan servis dan pukulan terus miliknya.

"Saya fikir saya telah memberikan persembahan terbaik saya dalam kejohanan ini setakat ini. Saya amat gembira dengan cara saya dapat memenangi perlawanan ini, dengan dua tie break.

"Kemenangan ini amat bermakna buat saya," katanya.