Paula Badosa meneruskan rentak kemenangannya dengan merakam kejayaan kedua dalam Kejohanan Tenis Pusingan Akhir WTA apabila mengalahkan Maria Sakkari secara straight set.

Badosa mencatat keputusan 7-6 (7-4), 6-4 dalam masa 2 jam 4 minit untuk memenangi perlawanan kelapan berturut-turut itu selepas menyertai kejohanan berkenaan menerusi tiket kejayaannya di Indian Wells.

Peluangnya untuk melangkah jauh dalam kempen di Guadalajara, Mexico, itu akan menjadi lebih jelas berdasarkan pertembungan di antara Aryna Sabalenka dan Iga Swiatek.

Tetapi selepas menewaskan Sabalenka dan Sakkari tanpa melepaskan sebarang set, Badosa kelihatan hampir pasti akan lolos ke separuh akhir dalam penampilan sulungnya.




Dalam pertemuan pertama di antara kedua-dua pemain itu, Badosa mendahului 5-2 sebelum kehilangan empat mata untuk mengheret permainan ke babak tie-break, mujur pemain Sepanyol tersebut kembali menyusun rentak kemenangan.

Badosa mengulangi corak permainan garang pada awal set kedua dan meskipun Sakkari sempat menyamakan kedudukan 4-4, ia belum cukup untuk menyekat kemenangan Badosa.