Penyerang Terengganu Hockey Team (THT), Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, muncul penggempur terbaik tempatan dalam Liga Hoki Malaysia, namun kecewa apabila tidak terpilih membarisi skuad kebangsaan.

Sembilan gol musim ini sudah cukup membuktikan ketajaman Tengku Ahmad Tajuddin.

Dia muncul satu-satunya pemain tempatan yang mampu mencabar penjaring terbanyak Liga Hoki Malaysia, Jang Jong-Hyun, dengan 16 gol.

Namun, semua itu tidak cukup meyakinkan ketua jurulatih negara, Stephen Van Huizen, untuk memilih Tengku Ahmad Tajuddin beraksi bersama skuad negara dalam Liga Hoki Australia.

“Sekarang kita ada barisan kejurulatihan yang baru, saya percaya mereka mempunyai misi dan visi yang baru. Sememangnya saya mahu kembali berkhidmat untuk negara tetapi ia terpulang kepada keputusan jurulatih,” katanya.

Kali terakhir Tengku Ahmad Tajuddin mewakili Malaysia ialah dalam separuh akhir Liga Dunia di Antwerp, Belgium, Julai tahun lalu.

Namun, aksinya bersama THT membuktikan dia masih lagi antara penyerang terbaik negara dan wajar dipertimbangkan menjelang Trofi Juara-Juara Asia di Kuantan, bulan depan.