Selepas bergelar juara dunia keirin, Azizulhasni Awang menetapkan pencapaian lebih besar dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Azizulhasni muncul pelumba berbasikal trek pertama negara untuk menjuarai acara keirin dalam Kejohanan Dunia, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Hong Kong, 13 April lalu.

"Di peringkat dunia ini, bayangkan semua pelumba terbaik akan bersaing.

"Prestasi kami hampir sama tetapi macam mana kita berada di hadapan berbanding pesaing lain?

"Pakej teknologi sukan boleh membantu. Terowong angin adalah salah satu daripadanya kerana ia dapat membantu kami dari segi kayuhan dari sudut aerodinamik, selain pemilihan bahan jersi perlumbaan dan peralatan berbasikal," kata Azizulhasni dalam temubual [email protected] hari ini.

Pelumba berusia 29 tahun itu menambah: "Perkara-perkara ini sangat terperinci yang sukar dibayangkan oleh orang luar.

"Pada awalnya, saya sendiri meraguinya, tetapi apabila tengok hasil data ujian, barulah saya sedar perkara itu boleh memberi kelebihan.

"Malah, dalam Sukan Olimpik Rio, Great Britain telah mengaplikasikan teknologi sukan ini.

"Saya percaya kalau kita mengambil langkah proaktif untuk menuju ke langkah yang sama, peluang di Tokyo lebih cerah," katanya.

Azizulhasni mempunyai cerita tersendiri mengenai gelaran The Pocket Rocketman yang diberikan kepadanya di peringkat global.

Ini berikutan saiz fizikalnya yang berketinggian 168sm, tanggapan awal akan melabel dia pasti akan bergelut untuk bersaing dengan pencabar yang memiliki sosok lebih sesuai.

"Pada awal permulaan karier, saya menerima maklum balas negatif kerana saiz tubuh yang kecil sehingga dianggap tidak mampu pergi jauh dalam sukan berbasikal.

"Saya pernah disarankan agar berhenti awal dan fokus kepada pelajaran.

"Oleh kerana itu, dari awal lagi, saya sudah mempunyai mentaliti yang betul kerana saya mahu membuktikan ideologi ini silap.

"Dengan kejuaraan dalam Kejohanan Dunia, ia memberi impak besar terhadap tanggapan fizikal adalah penghalang untuk kita berjaya dalam sukan.

"Sir Chris Hoy -- juara dunia 11 kali dan Olimpik sebanyak enam kali -- pernah berkata bahawa saya akan menjadi juara pada suatu hari nanti.

"Ketika itu, saya hampir menewaskannya dalam Kejohanan Dunia 2010 di Copenhagen," kata bekas penuntut Sekolah Sukan Bukit Jalil itu.

Dalam masa yang sama, Azizulhasni yakin dengan pembinaan Velodrom Nasional di Nilai, masa depan sukan berbasikal adalah cerah.

"Kita mempunyai ramai bakat, cuma kekurangan prasarana.

"Dengan adanya gelanggang tertutup trek berbasikal bertaraf dunia ini, kita boleh menjalankan program pembangunan yang boleh menggantikan saya pada suatu hari nanti."






======================================================================================================