Berusia 19 tahun dan mula bermain bola tampar sejak 10 tahun lalu.

Itulah perjalanan Tasha Mae sebagai seorang atlet, yang pada satu ketika hampir melupakan sukan bola tampar selepas tamat zaman persekolahannya.


Bagaimanapun, disebabkan satu tawaran, Tasha berubah fikiran untuk lebih cinta kepada bola tampar tapi di gelanggang berbeza.

"Sebenarnya, selepas habis sekolah, saya tidak lagi mahu bermain bola tampar dan mahu berali ke sukan lain.

"Namun, jurulatih saya ketika di sekolah rendah, yang juga seorang pemain bola tampar pantai, menawarkan peluang mewakili skuad negara dalam Sukan SEA.

"Jadi, saya mengambil peluang itu dan akhirnya jatuh cinta kepada sukan ini." ujarnya.

Malah, disebabkan rasa cinta Tasha kepada sukan itu membuatkan dia tidak teragak-agak untuk meletakkan sasaran yang tinggi demi mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

"Salah satu impian saya ialah mewakili Malaysia dalam Sukan Olimpik.

"Mungkin pada 2028 kerana dalam sukan ini, pemain akan mencapai kemuncak prestasi pada sekitar umut 30-an.

"Pada usia itu, saya tidak tahu apa situasinya tetapi ada kemungkinan peluang itu akan datang, mungkin dalam empat atau lima tahun lagi, siapa tahu?" tambahnya lagi.