Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Stephen Van Huizen, masih terkesan dengan kekalahan kepada Jepun dalam final Sukan Asia 2018, apabila tidak dapat menahan tangisan sambil menganggap kepulangannya ke tanah air sepatutnya diiringi dengan pingat emas.

Ketibaan skuad kebangsaan disambut meriah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini tatkala tumpuan diberikan kepada Van Huizen yang tidak dapat menahan air mata sebaik sahaja tiba.

Bagi Van Huizen, sambutan itu pasti lebih bermakna sekiranya mereka membawa pulang emas yang sememangnya dinantikan tetapi sebaliknya berlaku apabila meraih perak.

Rasa bersalah masih membelengu Van Huizen yang berharap cuti seminggu mampu memberi semangat baru kepadanya serta barisan pemain.

"Seperti dikatakan, kami tidak tahu apa yang berlaku. Ia sangat memedihkan. Saya boleh rasakan kesakitan yang dirasai pemain-pemain tetapi bukan rezeki kami pada kali ini.

"Namun, semangat perlu dikuatkan. Peluang itu terlepas tetapi saya berbangga dengan pemain-pemain," kata Van Huizen.

Penjaga gol berpengalaman, S. Kumar, bertekad dengan azam baru sebaik menjejakkan kaki di Malaysia bagi memulihkan kembali emosi walaupun pahit untuk menerima hakikat bahawa penampilan terakhirnya dalam Sukan Asia gagal ditamatkan dengan emas.

"Saya tidak meninggalkan pasukan dalam keadaan ini. Saya rasa masih boleh membantu pasukan dan kuat secara mental walaupun situasi ini berlaku.

"Saya tidak boleh meneruskan kesedihan ini," ujar Kumar.

Sementara itu, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) akan membuat rayuan segera kepada Persekutuan Hoki Dunia (FIH) agar pasukan kebangsaan dapat diberikan slot kelayakan secara automatik ke saingan Sukan Olimpik Tokyo 2020 selaku pasukan kedua terbaik dalam Sukan Asia 2018 memandangkan Jepun yang muncul juara sudah pun layak sebagai tuan rumah.

KHM tidak terlalu berharap rayuan itu akan diterima tetapi tidak mustahil skuad negara dapat diberikan slot berkenaan selepas merangkul pingat perak apabila tewas kepada Jepun.

Cadangan itu disambut baik oleh FIH, namun Persekutuan Hoki Asia (AHF) tetap dengan pendirian setiap pasukan perlu mengikuti dasar-dasar yang ditetapkan.

"Pasukan terbaik yang seterusnya kalau boleh harus diberi keutamaan dan kelayakan automatik.

"Saya sudah terbaca kenyataan-kenyataan daripada pegawai eksekutif AHF yang mengatakan ia tidak boleh berlaku berdasarkan dasar-dasar yang telah ditetapkan.

"Namun, saya ingin jelaskan, saya sudah berjumpa pihak FIH dan mereka bersetuju dengan cadangan saya. Mereka juga berasa langkah itu patut diambil.

"Ia hanya perlu dibawa kepada dua badan, iaitu Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Kongres FIH pada Oktober nanti," kata Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal.