Jurulatih Terengganu Hockey Team (THT), Sarjit Singh, mengakui 2016 musim paling sukar dalam kerjayanya apabila terpaksa berhempas-pulas untuk membantu pasukan mempertahankan Piala TNB buat kali ketiga berturut-turut.

THT membuktikan mereka masih gergasi hoki Malaysia apabila muncul juara Piala TNB menewaskan Sapura 3-0 hasil gol sumbangan Jang Jong Hyun dan dan Nicholas Enrique.

Skuad Pantai Timur itu bangkit pada masa yang tepat walaupun pernah menghuni tangga keempat Liga Hoki Malaysia sebelum bangkit membelasah lawan demi lawan dalam laluan menjuarai Piala TNB.

Sarjit nyata gembira dengan kejayaan menjuarai Piala TNB sejak 2014 walaupun berdepan cabaran paling getir musim ini.

"Tahun ini agak sukar, terutama dalam liga, kerana kami tidak memulakan musim dengan baik. Pemain import memerlukan masa untuk mendapat keserasian.

"Kami hanya ada seminggu untuk berlatih, jadi selepas ini kami harap ada masa lebih panjang," jelasnya.

Kapten THT, Fitri Saari, mengakui dapat merasai kejuaraan dengan melihat tahap kesungguhan yang dipamerkan rakan sepasukan lain.

"Segala taktikal jurulatih telah kami ikut. Saya juga berkata kepada pemain untuk kekal fokus dan berdisiplin dan saya yakin kami mampu menang," jelasnya.

Sementara itu, kapten Sapura, Faiz Helmi, mengakui kegagalan menutup ruang ketika pukulan sudut penalti menjadi punca mereka tewas.

"Tiada rezeki untuk kami, kami sudah cuba sedaya-upaya. Ketika THT mendapat pukulan sudut penalti, kami gagal menutup ruang yang ada, kami juga tidak memanfaatkan peluang, kerana itulah kami tewas," jelasnya.