Skuad taekwondo poomsae negara mengulangi perancangan Sukan Asia 2018 sempena Sukan SEA Filipina, November depan apabila memanggil bekas juara dunia, Park Kwang-ho, untuk membantu persiapan.

Bagi memastikan sasaran sekurang-kurangnya satu pingat emas dalam acara poomsae tercapai, ketua jurulatih skuad taekwondo negara, Yap Yih Ting, sedar mereka memerlukan pertolongan bekas juara dunia 2014 dan 2016 berkenaan.

Ini disebabkan ketika temasya Sukan Asia 2018, bantuan bekas juara dunia itu dalam mempersiapkan skuad telah membuahkan hasil apabila mereka berjaya menamatkan kemarau pingat negara selama 16 tahun.

"Kwaong-ho sekali lagi bersama skuad negara untuk membantu kami dalam membuat persiapan menghadapi Sukan SEA," kata Yih Ting.

Tambahnya, mereka kini lebih yakin dengan kehadiran atlet baru yang bakal memikul tanggungjawab dalam Sukan SEA apabila mula menunjukkan hasil dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

"Kehadiran mereka bakal membantu pasukan negara sebagai atlet pelapis dan dilihat menjadi persaingan kepada barisan utama," katanya.

Dalam Sukan SEA edisi ke-30 di Filipina, Taekwondo Malaysia meletakkan sasaran dua emas kepada atlet lelaki; masing-masing menerusi acara kyorugi dan poomsae.