Kem taekwondo negara terlepas peluang untuk meraih dua pingat emas selepas Muhammad Iskandar Zulkanain dan Nur Dhia Liyana tewas kepada lawan masing-masing dalam aksi final kyorugi di Dewan 1, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Iskandar tewas 7-33 di tangan pemenang perak Sukan Olimpik Rio 2016, Tawin Hanprab dari Thailand dalam final kategori bawah 58 kilogram lelaki sementara Dhia terpaksa akur dengan tempat kedua bagi acara bawah 49kg wanita selepas tumpas 1-39 di tangan seorang lagi atlet Thailand, Panipak Wongpattanakit.

"Apa yang telah berlaku hari ini pengalaman yang sangat berharga bagi saya. Kerana bukan mudah untuk berdepan lawan atlet yang berkelas dunia. Ini pengalaman yang cukup bermakna," kata Dhia.

"Pengalaman amat berbeza kerana ini Sukan SEA pertama saya dan saya juga jarang bertanding di kejohanan luar.

"Dapat jumpa pihak lawan kuat macam ini saya lagi suka. Saya memang buat yang terbaik tetapi bukan rezeki saya kali ini. Saya akan cuba menang dalam edisi SUkan SEA seterusnya," ujar Iskandar.

Sementara itu, James Tee membutirkan gangsa buat Malaysia menerusi acara kyorugi bawah 63kg lelaki sebelum Nurul Nur Haffiza menambah jumlah gangsa menerusi kategori bawah 73kg.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.