Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, memberi jaminan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) akan dikekalkan untuk atlet para negara walaupun kedudukan kewangan kerajaan tidak menentu.

Terdapat desakan untuk nilai SHAKAM atlit para diturunkan sebelum ini.

Ia susulan taraf saingan atlet para didakwa tidak begitu sukar berbanding atlet normal.

Namun, Syed Saddiq menegaskan kerajaan kekal dengan pendirian bahawa pemenang pingat emas Sukan Para Asia akan menerima RM80,000, perak RM40,000, sementara gangsa akan menerima RM20,000.

"Maksud sama di sini adalah nilai yang sama akan diperoleh atlet normal ketika temasya Sukan Asia lalu. Tiada perbezaan kerana mereka semua luar biasa.

"Jemaah menteri sedia maklum dan mengucapkan tahniah kepada mereka, khususnya kepada Ridzuan Puzi dan Latif Romly yang memecah rekod dunia.

"Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, juga sedia maklum dengan perkara ini dan saya rasa beliau akan mengekspresikan ucapan tahniah dalam tempoh terdekat," kata Syed Saddiq.

Kontinjen negara berada di landasan terbaik untuk mencapai sasaran 15 emas yang ditetapkan untuk Sukan Para Asia Jakarta, Indonesia.

Paling mencuri tumpuan, kejayaan Ridzuan memperbaharui rekod dunia ketika meraih emas acara 100 meter dan 400m T36 sementara Abd Latif Romly meraih emas acara lompat jauh T20, juga dengan rekod dunia.

Sementara itu, Syed Saddiq akan sekali lagi mengadakan lawatan mengejut ke Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang, untuk memantau kerja-kerja memperbaiki kerosakan di sana.

"Semua perkara yang mereka bangkitkan sebelum ini sudah dibincangkan dan tindakan susulan akan diambil. Saya sudah maklumkan kepada pegawai tertinggi Kementerian Belia dan Sukan dan pada bila-bila masa, saya akan membuat lawatan yang sama untuk melihat perkara yang saya sudah bincangkan selesai secepat mungkin," tambahnya.