Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, memberi jaminan pihaknya akan memberi bantuan kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) yang berdepan penutupan jika masalah dana berterusan.

YAKEB merupakan badan yang bertanggungjawab kepada 2,742 bekas atlet kebangsaan. Antara bantuan yang diberikan termasuk menampung kos rawatan dengan pelan perubatan sebanyak RM20,000 kepada setiap ahli.

Lantaran itu, YAKEB memerlukan RM2 juta setahun bagi tujuan berkenaan tetapi ketiadaan dana tahun ini bakal mengakibatkan mereka terpaksa ditutup.

Menurut Syed Saddiq, YAKEB sebelum ini memperoleh dana daripada Kementerian Kewangan, namun tidak menolak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga dapat memainkan peranan dalam membantu badan itu.

"KBS akan mengadakan satu perjumpaan dengan YAKEB untuk membincangkan soal membantu bekas atlet.

"Fokus utama kementerian ini bukan sahaja untuk melahirkan atlet berprestasi tinggi tetapi juga membantu bekas atlet yang banyak berjasa untuk negara.

"Kami ingin membincangkan cara untuk kelangsungan bantuan ini," kata Syed Saddiq.

Laporan Nadi Arena semalam memaparkan keluhan bekas atlet negara yang mengalami kesukaran jika YAKEB tidak diberi bantuan.

Malah, ahli lembaga pengarah YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majid, turut menjelaskan badan itu terdesak untuk mendapatkan dana dan terpaksa berdepan kemungkinan ditutup sekiranya tiada bantuan diperoleh sehingga Oktober depan.