Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berhasrat untuk menukar tarikh Le Tour De Langkawi (LTDL) 2019, namun tindakan itu berkemungkinan menjejaskan status kelas hors perlumbaan.

Perubahan tarikh LTDL 2019 yang sepatutnya bermula 24 Mac depan mungkin diubah agar tidak bertembung dengan Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) tetapi langkah itu dibimbangi menjejaskan penyertaan pasukan bertaraf pro jelajah dan pro benua.

Ia disebabkan pasukan terbabit sudah menetapkan penyertaan mereka berdasarkan kalendar perlumbaan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Tanpa pasukan terbabit, reputasi kelas hors LTDL dikhuatiri akan terjejas.

"Kami baru sahaja memuktamadkannya, sebab itu tarikh amat penting. Ia memudahkan kami untuk mengubah, terutama memastikan ada acara lain seperti LIMA yang menenggelamkan LTDL. Kami mahu memaksimumkan masa untuk kedua-dua pihak," kata Syed Saddiq.

"Cuba lihat sebelum ini. LTDL popular kerana liputan yang sangat luas daripada bukan sahaja media Eropah kerana jika ia sama dengan berita yang bersiaran langsung, kesannya tidak begitu besar disebabkan berlainan waktu. Kami perlu mendominasi perlumbaan di serata Asia."

LIMA akan bermula 26 Mac depan iaitu ketika LTDL sudah memasuki peringkat ketiga perlumbaan.

Sementara itu, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menyuarakan kebimbangan mengenai nasib LTDL jika tarikh diubah.

"Kalau ingin meminda, ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Ini melibatkan pelumba profesional," ujar Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab.