Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mahu semua pihak jangan terlalu cepat menyalahkan atlet sekiranya mereka dipalit dengan isu doping dan menjelaskan ia perlu ditangani dengan lebih baik.

Pendedahan Nadi Arena menerusi laporan khas siri pertama semalam mendapati 56 peratus atlet negara masih lagi naif mengenai doping, sekali gus mencatat statistik yang membimbangkan kerana majoriti daripada kelompok itu merupakan kelompok di bawah usia 21 tahun.

Justeru, Syed Saddiq mahu memastikan kementeriannya dapat meneruskan kerjasama dengan lebih rapat bersama Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) di samping perlu ada inisiatif lebih baik oleh persatuan sukan kebangsaan.

"Kalau ia tidak boleh ditangani dengan baik, ia akan mengganggu martabat dalam sukan. Dalam isu ini, ia bukan sahaja melibatkan atlet dan kami tidak boleh cepat menghukum mereka. Perbincangan lebih rapi perlu diadakan dengan persatuan serta barisan kejurulatihan sendiri," katanya.

Sementara itu, Syed Saddiq menjelaskan pihaknya akan cuba mencari jalan penyelesaian terbaik membabitkan tiga atlet menembak kebangsaan dan Institut Sukan Negara (ISN).

Semalam, tiga penembak berkenaan, iaitu Muslifah Zulkifli, Nur Ayuni Farhana Abd Halim dan Nur Suryani Mohamad Taibi mendapat kebenaran Mahkamah Rayuan untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi berhubung tuntutan saman mereka terhadap ISN.

"Saya rasa sebelum ini saya pernah berjumpa mereka. Dalam masa sama, kami memang ingin mencari jalan penyelesaian bersama. Perkara ini saya belum sempat menemui ISN untuk penerangan sepenuhnya tetapi apa yang penting, mereka perlu dibantu," tambahnya.

Syed Saddiq berkata demikian ketika sesi pertemuan mingguan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama atlet kebangsaan dan penggiat sukan tempatan di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.

Antara yang hadir termasuk kapten skuad ragbi tujuh sepasukan negara, Zulkiflee Azmi, serta bekas atlet berbasikal trek negara, Yafiz Jamaluddin.