Jaguh bina badan, Syarul Azman Mahen Abdullah, meminta Majlis Sukan Negara (MSN) mempertimbangkan bantuan terhadap atlet sukan kelas kedua yang turut menaikkan nama Malaysia hingga bergelar juara dunia.

Hasrat MSN membantu pemain badminton beregu profesional negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, serta beregu campuran, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, membuka lembaran baru.

Atlet yang tiada dalam sistem tier seperti Syarul berharap MSN turut memberi tumpuan terhadap mereka kerana turut berjaya menaikkan nama Malaysia.

Syarul mempamer aksi cemerlang apabila muncul juara Mr Universe serta Mr Asia 2018 dan dia dijangka mempertahankan gelaran itu tahun ini.

"Memang penting. Kalau MSN mahu membantu atlet yang telah keluar daripada program, apa salahnya bantu saya? Saya bukan daripada program tetapi memiliki rekod tiga kali bergelar juara dunia, jadi sedikit-sebanyak saya layak dibantu," katanya.

Bina badan tiada dalam sistem tier MSN tetapi masih layak diberi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) berdasarkan pencapaian di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, ganjaran yang diterima Syarul dilihat tidak setimpal dengan kos yang terpaksa ditanggung sebelum gelaran Mr Universe dan Mr Asia 2018 menjadi miliknya.

"Saya harap mungkin MSN boleh naikkan SHAKAM atau insentif. Ia akan mengurangkan beban walaupun saya tidak menerima elaun bagi menghadapi kejohanan akan datang."