Jaguh karate-do, Syakilla Salni Jefri Krishnan, dipilih sebagai pembawa bendera kontinjen Malaysia dalam Sukan Asia Indonesia, bulan depan apabila mengetepikan beberapa bintang utama negara, termasuk perseorangan utama badminton, Datuk Lee Chong Wei.

Mesyuarat Lembaga Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyenarai pendek enam calon untuk tugas pembawa bendera. Selain Syakila dan Chong Wei, turut dipertimbangkan ialah ratu skuasy, Datuk Nicol Ann David, Pandelela Rinong (terjun), Khairulnizam Afendi (pelayaran) dan S. Kumar (hoki).

Justeru, MOM mempunyai alasan kukuh mengapa Syakila dipilih sebagai pembawa bendera.

"Dia (Syakilla) merupakan muka baru dalam peranan tersebut dan juga menduduki ranking nombor satu karate di Asia.

"Syakilla merupakan pemenang emas dalam temasya Incheon 2014 serta Sukan SEA Kuala Lumpur.

"MOM memberi pengiktirafan kepada Syakilla kerana acara karate juga akan dipertandingkan dalam Sukan Olimpik Tokyo," kata Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria.

Sementara itu, chef-de-mission (CDM) negara ke Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abd Azim Mohd Zabidi, menyifatkan Syakilla sebagai pilihan tepat dengan berkata: "Saya lihat satu kontinjen yang mantap dengan adanya atlet seperti Syakilla sebagai pembawa bendera.

"(Pemilihannya) akan mencetuskan semangat (kepada atlet senegara) kerana pernah menjadi atlet karate wanita nombor satu dunia serta dalam kalangan terbaik untuk menghadapi Sukan Asia."

Pembawa bendera mencerminkan atlet contoh sesebuah negara sama ada daripada segi pencapaian, disiplin dan sikap di luar gelanggang.

Ini kali dua kali berturut-turut atlet wanita negara dipilih pembawa bendera Sukan Asia selepas Nicol menggalas tugas itu di Incheon, empat tahun lalu.