Pemain senior dan muda skuad ragbi 15s negara, Mohd Syahmi Afiq, masih menaruh keyakinan dengan keupayaan ketua jurulatih, Brad Mika, bagi menghadapi baki Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2019 selepas tewas dua perlawanan menentang Korea Selatan.

Syahmi, yang beraksi dalam ARC 2018, berkata terdapat banyak perbezaan dilakukan Mika bagi menghadapi saingan ARC tahun ini.

"Banyak perbezaan saingan berbanding tahun lalu daripada segi taktikal permainan dan latihan," katanya.

Walaupun Aidilfitri sudah tiba di mana atlet mengambil masa untuk berehat, namun Syahmi tetap fokus kepada perlawanan menentang Hong Kong dan berlatih mengikuti program yang disediakan Mika.

"Saya masih lagi memberikan tumpuan kepada latihan menjelang saingan di Hong Kong nanti. Program latihan telah ditetapkan oleh Mika dan saya akan terus membuat persiapan."

Malaysia yang berada di ranking ke-45 dunia bakal bertemu pasukan di ranking ke-25 dunia, Hong Kong, di Stadium Bolasepak Hong Kong, Sabtu depan sebelum perlawanan kedua di Kuala Lumpur, 22 Jun ini.

Ini merupakan perlawan penentuan, skuad Bunga Raya kerana perlu meraih kemenangan jika ingin kekal dalam saingan premier ARC tahun depan.