Pemain skuasy lelaki negara, Syafiq Kamal, perlu mendapatkan kembali momentum perlawanan dalam Kejohanan Jelajah Persatuan Pemain Skuasy Profesional (PSA) selepas hampir dua bulan dibelenggu kecederaan pinggul.

Syafiq memulakan tahun ini dengan cemerlang sebaik mara ke separuh akhir Piala Cabaran Contrex di Hong Kong bulan lalu walaupun beraksi dalam kecederaan.

Selepas sebulan, keadaan fizikalnya kini semakin baik dan lebih bebas untuk bergerak.

"Saya kini lebih berkeyakinan untuk melakukan pergerakan berbanding sebelum ini.

"Kecederaan itu mengganggu saya untuk melakukan pergerakan, terutama apabila mahu bergerak ke depan dengan pantas.

"Saya yakin kecederaan ini akan pulih sepenuhnya menjelang kejohanan akan datang," katanya.

Syafiq akan menyertai dua kejohanan PSA di Kanada sepanjang bulan depan, dengan menyasarkan untuk skurang-kurangnya melangkah ke suku akhir.

"Secara realistik, saya menyasarkan untuk ke suku akhir.

"Andai sasaran itu tercapai, saya akan berusaha untuk mara lebih jauh," tambahnya.