Bekas pelumba motosikal negara, Khairul Idham Pawi, tidak akan berganjak dengan keputusan persaraannya.

Biarpun beberapa pihak tampil memujuknya selain tidak kurang yang memintanya menimbangkan kembali keputusan yang dianggap drastik itu seperti yang dikongsikan bersama wartawan Astro Arena, Adam Zamri.

Superkip hadir ke Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya hari ini dalam satu perjumpaan tertutup bersama Persatuan Permotoran Malaysia (MAM).

Perjumpaan selama dua jam membabitkan tiga pihak itu tidak mencapai sebarang kata putus, sebaliknya mendengar luahan isi hati Superkip sepanjang lima musim mengibarkan Jalur Gemilang dalam kancah MotoGP.

Mengakui terharu dengan segala bantuan dan perhatian diberikan, Superkip tegas dengan pendiriannya untuk keluar daripada arena permotoran.

"Insya-Allah saya akan fikirkan dulu. Tetapi sekarang ini saya tidak mahu fikir pasal perlumbaan.

"Saya cuba bantu keluarga, tiada tekanan dan mahu menikmatinya.

"Itu sahaja yang saya hendak buat sekarang," katanya.

Khairul Idham Pawi secara rasminya telah mengumumkan persaraan dari sukan permotoran. ? Terkejut pun ada ni. Sebab...

Posted by Team Malaysia on Monday, December 7, 2020


Ditanya perancangan persaraan selepas ini pada usia yang muda, pelumba kelahiran Perak itu kini sedang berjinak-jinak beralih ke bidang sukan lain iaitu e-sukan.

"Saya cuba yang termampu untuk naikkan komuniti setempat. Kami membentuk pasukan dan saling membantu," tambahnya.

Selain itu, MAM juga akan turut terlibat dengan Khairul Idham untuk sama-sama memberi kembali kepada komuniti dengan membangunkan semula Litar Datuk Sagor di Batu Gajah, yang merupakan litar, yang menjadi tempat dia memulakan minatnya dalam dunia permotoran.

"Dalam kes ini, Superkip banyak berlatih di Litar Datuk Sagor dan buat masa ini ia tidak sesuai.

"MAM sedia tambah (aspek) keselamatannya bagi tujuan pembangunan sukan permotoran.

"Superkip memang ada cakap terbuka untuk tolong komuniti di situ.

"MAM mungkin boleh melihat penambahbaikan di litar itu," kata Setiausaha Agung MAM, Muizz Azli.