Pusingan pertama Kejohanan Superbike Malaysia 2018 menyaksikan beberapa nama besar menepati ramalan untuk menaiki podium dengan tumpuan terarah kepada pelumba Hong Leong Yamaha, Kasma Daniel Kasmayuddin, yang mengungguli kategori Supersport 600cc, di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Kasma, yang hadir dengan reputasi sebagai juara Kejohanan Cub Prix, melakukan penampilan pertamanya dalam saingan Supersport 600cc.

Dia yang bermula di petak pertama, bagaimanapun, gagal menamatkan saingan dalam perlumbaan pertama pada sebelah pagi, namun kembali bangkit untuk mengungguli perlumbaan pada sebelah petang.

Kasma menamatkan saingan itu dengan catatan 28 minit 49.634 saat untuk tempat pertama manakala Helmi Azman dan Fakhrusy Syakirin Rostam daripada pasukan SCK Rapido Racing masing-masing berpuas hati di tempat kedua dan ketiga.

"Saya dianggap penunggang muda dalam saingan ini.

"Saya mahu mengutip pengalaman untuk menghadapi perlumbaan Supersport 600cc yang akan datang," kata Kasma.

Sementara itu, saingan perdana, Superbike, menyaksikan juara Asia 2017, Azlan Shah Kamaruzaman, turun mewakili Chia PJ Kawasaki.

Turut mencabarnya adalah bekas pelumba Moto2 negara, Ramdan Rosli, yang mewakili TOC HKMTOYO Racing Team.

Begitupun, kehebatan Azlan sukar untuk digugat dan akhirnya dia berjaya melintasi garisan penamat selepas menamatkan kesemua 12 pusingan dengan catatan 26:28.948s.

Tempat ketiga milik pelumba Switzerland, Jonathan Serrapica.

"Saingan hari ini agak mencabar juga kerana cuaca hujan dalam perlumbaan sebelah pagi dan dalam perlumbaan petang pula, saya bernasib baik dapat menjarakkan diri dengan Ramdan yang menghadapi masalah brek sementara Rajani Krishnan -- penunggang dari India yang memenangi perlumbaan pertama -- terbabas.

"Saya sangat gembira dan Alhamdulillah dapat meraih tempat pertama hari ini," kata Azlan.