Ketua pasukan hoki negara, Sukri Mutalib, mengingatkan rakan sepasukannya agar tidak memandang rendah keupayaan Bangladesh selaku lawan pertama dalam pusingan kedua Liga Dunia, esok, kerana mereka dijangka menurunkan tujuh pemain baru.

The Malaysian Hockey Tigers memiliki rekod cemerlang menentang Bangladesh apabila tidak pernah tewas di tangan pasukan di ranking ke-32 dunia itu dalam sejarah pertemuan kedua-dua pasukan.

Begitupun, Sukri meminta rakan-rakannya menghormati Bangladesh apabila turun dalam aksi Kumpulan A di Stadium Hoki Nasional Maulana Bhashani.

"Kami harus menghormati setiap lawan kerana yang datang ke sini merupakan pasukan-pasukan yang bagus seperti China, Mesir, dan pasukan tuan rumah, Bangladesh, juga mempunyai kualiti permainan yang bagus.

"Apa yang kami perlu lakukan adalah mempersiapkan diri sebelum perlawanan dan ikut arahan jurulatih," katanya.

Pemain negara sudah menamatkan sesi latihan terakhir menjelang aksi pembukaan dan hanya mengadakan aktiviti santai di hotel penginapan, sekali gus diharap dapat mengurangkan tekanan sebagai pilihan utama kejohanan.

"Sudah pasti mereka ingin menampilkan sesuatu yang sangat berbeza dengan kehadiran tujuh pemain remaja dan berjuang habis-habisan.

"Sebelum kami tengok pasukan lawan, kami perlu mempersiapkan pasukan sendiri sebaik yang mungkin.

"Rekod menewaskan Bangladesh 7-1 ketika Piala Asia 2009 tidak boleh dijadikan ukuran.

"Pada 2017, kita telah menerapkan permainan hoki moden, di mana perubahan dan undang-undang telah bertukar.

"Jadi kami perlu menewaskan Bangladesh dalam perlawanan pertama," tambahnya.

Sementara itu, penyerang senior, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil, akan menggalas tugas penting sebagai ketua penggempur ekoran ketiadaan Faizal Saari dan Mohd Haziq Shamsul ekoran kecederaan.

"Penyerang muda yang ada sekarang ini telah mengharungi beberapa siri kejohanan antarabangsa. Mereka menimba banyak pengalaman dalam kejohanan-kejohanan antarabangsa sebelum ini.

"Saya tidak terlalu gusar kerana mereka sudah banyak terdedah dengan perlawanan peringkat tinggi," katanya.

Selepas setahun lapan bulan tidak bersama pasukan negara, Tengku Ahmad Tajuddin turut mengakui ia cabaran yang perlu dipikulnya untuk menjadi contoh atau memberi tunjuk ajar kepada pemain-pemain muda yang lain.

"Itu perkara yang perlu saya tangani sebaik mungkin."