Kapten skuad hoki negara, Sukri Mutalib, buntu dengan masalah prestasi selepas rehat yang dilihat punca Malaysia ditimpa dua kekalahan besar dalam separuh akhir Liga Hoki Dunia di London setakat ini.

Dia mengakui skuad negara hanya mampu bermain dalam dua suku pertama, sebaliknya pelbagai masalah muncul dalam suku ketiga.

"Setakat dua perlawanan ini, itulah yang berlaku. Kami ada masalah dalam suku ketiga dan itu yang menjadi persoalannya.

"Saya pun tidak menjangkakan persoalan ini berlaku dalam dua perlawanan berturut-turut kerana sebelum ini dalam aksi persahabatan, semuanya berjalan dengan baik.

"Apa yang perlu kami lakukan selepas ini adalah menganalisis perlawanan kami semula kerana banyak kesilapan berlaku dalam suku ketiga," katanya.

Malaysia tewas 7-3 di tangan England malam tadi selepas kalah 5-3 kepada Argentina dalam perlawanan pembukaan kumpulan A kelmarin.

Mengulas mengenai keadaan di dalam bilik persalinan, Sukri berkata semuanya terkawal: "Tiada apa-apa yang berlaku dan apabila kami keluar selepas rehat semua berjalan dengan baik dan saling memberi motivasi antara satu sama lain."

Sukri menambah dalam perlawanan seterusnya di antara Malaysia dan Korea Selatan awal pagi esok, kedua-dua pasukan masing-masing sangat memerlukan kemenangan.

"Oleh itu, jika kami mahu mengatasi mereka untuk pergi ke Piala Dunia, kami perlu lebih agresif daripada mereka, termasuk menentang China selepas itu," katanya lagi.

Selepas bertemu Korea Selatan, Malaysia seterusnya akan bertemu China pada untuk perlawanan ketiga Kumpulan A.