Setiausaha Agung Taekwondo Malaysia (TM), Datuk Edward Jules, memohon campur tangan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selepas acara itu tidak dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) Johor, tahun depan -- kali pertama sejak temasya itu diperkenalkan 33 tahun lalu.

Taekwondo menerima tamparan hebat apabila digugurkan daripada senarai 31 jenis sukan Sukma Johor 2020.

Jawatankuasa Tertinggi Sukma dua minggu lalu memutuskan hanya angkat berat berjaya dalam rayuan selepas semua atletnya lulus ujian doping.

Namun, ia tamparan hebat kepada taekwondo yang dipertandingkan dalam Sukan Olimpik dan Sukan Asia.

"Perkara ini harus diberikan perhatian dan dibincangkan semula kerana sukan taekwondo perlu dipertandingkan dalam Sukma kerana ia merupakan sebahagian acara yang dipertandingkan dalam Sukan Olimpik," kata Edward.

"Saya akan mengusulkan perkara ini kepada Syed Saddiq dan berharap taekwondo dipertandingkan semula dalam Sukma."

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sudah mewujudkan jawatankuasa khas untuk mengkaji jenis sukan yang patut dipertandingkan dalam Sukma 2022.