Bersandarkan hanya kepada sekumpulan atlet cilik, skuad Sabah membutirkan pingat emas pertama daripada sukan pelayaran dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018 apabila menumpaskan Terengganu dalam acara berpasukan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, hari ini.

Pelayaran sudah pun membuka tirai Sabtu lalu.

Namun, pingat pertama yang dipungut di sini adalah menerusi acara berpasukan yang menemukan pasukan Sabah dengan Terengganu yang menyaksikan setiap pasukan diwakili empat peserta.

Sebanyak tiga pusingan diadakan untuk aksi final apabila pusingan pertama memihak kepada pasukan Sabah dengan kiraan 20-16.

Terengganu cuba menyamakan kedudukan dalam pusingan kedua apabila mengatasi barisan pelayar Sabah 16-20.

Penentuan ditentukan dalam pusingan ketiga dan akhirnya Sabah mengetepikan hasrat barisan pelayar Terengganu 19-17 untuk memenangi emas pertama dalam sukan pelayaran.

Tambah menarik, barisan pelayar skuad Sabah dibarisi oleh atlet muda seawal usia 12 tahun.

"Kami mendahului sejak awal lagi, jadi kami hanya menunggu untuk berentap dalam final.

"Bagaimanapun, kami masih perlu terus bekerja keras kerana belum menang lagi," kata peserta Sabah, Muhammad Aiman Adam Mohd.