Majlis Sukan Negara (MSN) akan meneliti kesemua aspek setelah wujud cadangan untuk melanjutkan had umur bagi atlet yang bakal menyertai Sukan Malaysia (Sukma) Johor.

Temasya dwitahunan itu, yang menetapkan had umur 21 tahun ke bawah, menampilkan bakat-bakat muda negara itu terpaksa ditunda gara-gara penularan wabak koronavirus baru (Covid-19).

Susulan pandemik yang semakin serius itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican, dan Jawatankuasa Tertinggi Sukma sepakat untuk menangguhkan saingan berkenaan ke suatu tarikh yang bakal diputuskan kelak.

MSN sedar jika ia diadakan pada tahun hadapan, maka kebanyakan kontinjen negeri mungkin terpaksa melupakan taruhan terbaik mereka gara-gara sudah melepasi had umur yang ditetapkan.

Justeru, satu perbincangan khas akan dibuat dan akan mengambil kira semua aspek bagi memastikan Sukma Johor tetap akan berjalan dengan lancar.

"MSN dan sekretariat Sukma akan buat kajian tentang tarikh penganjurannya yang baru dengan mengambil segala kesan.

"Ia akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sukma Mei depan," kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, ketika dihubungi wartawan Nadi Arena, Adam Zamri, hari ini.

Dalam masa yang sama, Shapawi turut jelaskan tarikh baru Sukma Johor akan diputuskan selewat-lewatnya awal Mei depan seperti dimaklumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Oleh kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, kami banyak berhubung menerusi di atas talian dengan pihak seketariat dan saya juga berurusan dengan rakan-rakan di peringkat negeri-negeri.

"Semuanya akan dilakukan dalam tempoh masa yang diarahkan oleh menteri belia dan sukan.

"Kami juga akan kembali melaporkan kepada Jawatankuasa Tinggi Sukma yang akan membuat keputusan bersama-sama menteri belia dan sukan."