Pasukan futsal Johor mohon peminat sukan tempatan agar tidak terus menghukum barisan pemain dan negeri itu secara keseluruhannya berikutan insiden kekecohan ketika aksi Kumpulan B menentang Wilayah Persekutuan dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018, hari ini.

Jurulatih futsal Johor, Ahmad Hanif Sarmin berkata kekecohan itu berlaku di babak akhir permainan yang menyaksikan insiden tolak-menolak dan tarik-menarik dalam kawasan gelanggang kedua-dua pasukan berkenaan.

“Isu pergaduhan bola sepak Johor masih lagi 'panas' dan saya sebenarnya selalu nasihatkan pemain-pemain saya supaya mengawal emosi mereka.

“Isu bola padang masih belum selesai, sekarang ditambah lagi kekecohan futsal mengaitkan nama Johor. Kepada sesiapa yang tidak tahu cerita sebenar, mereka tidak boleh cepat melatah atau buat spekulasi liar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Belum lagi reda isu pergaduhan bola sepak melibat Johor dengan Terengganu, Sukma 2018 pula dikejutkan dengan kekecohan skuad futsal Johor ketika tewas 4-6 kepada Wilayah Persekutuan di Manjung Indoor Sport Arena.

Mengulas lanjut, Ahmad Hanif, 32, menegaskan tiada mana-mana pemain yang mengalami kecederaan dalam kekecohan tersebut dengan mendedahkan kedua-dua pasukan telah memohon maaf di atas sikap kurang sopan itu sejurus tamat perlawanan.

"Bagaimanapun kedua-dua pasukan telah memohon maaf selepas perlawanan berakhir dan saya fikir kekecohan ini berlaku disebabkan salah faham sahaja. Bukannya serius seperti yang berlaku kepada (pasukan) bola sepak padang.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan pergaduhan serius berlaku melibatkan pasukan bola sepak Johor dan Terengganu ketika bermain dalam aksi kedua acara bola sepak Kumpulan B di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Perlawanan itu berakhir dengan insiden yang tidak diingini yang menyaksikan dua pemain Terengganu, Mohamad Shafawi Mohamad dan Mohammad Rahmat Makasuf dan dua pemain Johor, Mohamad Hariz Kamarudin dan Nur Ismail Sukandar dilayangkan kad merah dari pengadil, Mohd Afiq Ahmad Nadzir.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berharap setiap ketua kontinjen negeri memainkan peranan dalam menasihati atlet-atlet muda negara yang menyertai temasya itu.

"Kita berharap ketua kontinjen negeri dapat memberikan teguran serius kepada pasukan masing-masing. Kita sewajarnya menanamkan semangat kesukanan yang tinggi dan janganlah mencemarkan nama baik diri sendiri, negeri atau sesuatu sukan kerana kita tidak mahu atlet kita terlalu beremosi," katanya.

-- BERNAMA