Kontinjen Terengganu terus cemerlang untuk menuai pingat emas dan mengukuhkan kedudukan keseluruhan pungutan pingat Sukan Malaysia (Sukma) 2018 dengan yang terbaru, Muhammad Idham Amin Ramlan, menyumbang emas daripada lapangan boling padang menerusi acara perseorangan lelaki, hari ini.

Di atas kertas, Idham diletakkan sebagai pilihan untuk merangkul emas memandangkan dia adalah juara bertahan ketika di Sarawak, dua tahun lalu.

Namun, lawan dari Selangor, Muhammad Haiqal Azami, tidak memberi laluan mudah buat Idham.

Setelah bertarung hampir dua jam 15 minit, Idham menggunakan segala pengalaman membuat balingan yang konsisten untuk sekali lagi menamatkan cabaran sebagai pemenang apabila mengatasi Haiqal 21-14.

"Di sini, saya perlu berdikari berbanding temasya di Sarawak, saya lebih mengharapkan bantuan pasukan," kata Idham.

Beralih ke acara beregu wanita, gandingan Selangor, Afiqah Dayana Budiman-Nurul Hidayah Roslan, mengubati kekecewaan dua tahun lalu untuk membawa pulang emas selepas menundukkan pasangan tuan rumah, Nur Izzati Ibrahim-Nurul Naelah Borhan, 17-12.

"Saya sangat bersyukur dengan acara pertama saya dan bertekad untuk melakukan yang lebih baik dalam acara seterusnya.

"Saya terpaksa mengorbankan zaman remaja dan waktu belajar.

"Saya terpaksa meninggalkan pengajian di kolej buat sementara waktu semata-mata untuk berkhidmat sebagai atlet Selangor," kata Nurul Hidayah.