Kontinjen negeri Terengganu meletakkan sasaran 69 pingat emas dalam Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-19 di Perak, September depan.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu, berpendapat sasaran itu mampu dicapai berdasarkan penyusunan serta persiapan rapi dilakukan pihaknya sejak dua tahun lalu.

Antara sukan yang menjadi perhatian untuk meraih pingat emas buat Terengganu adalah berbasikal, judo, memanah, taekwondo, silat dan olahraga.

Komitmen yang ditunjukkan oleh atlet negeri itu yang dalam latihan intensif fasa terakhir juga telah mempamerkan perkembangan positif ke arah meraih kejayaan di Perak.

"Acara-acara sukan lain juga ada diletakkan dalam senarai sasaran emas dan kami yakin jumlah 69 emas boleh dicapai.

"Berbanding edisi lalu di Sarawak, kontinjen Terengganu tahun ini akan mempertaruhkan 35 peratus muka baru," kata Ibni Amin yang ditemui dalam Majlis Perhimpunan Kontinjen Terengganu Menjelang 100 Hari Sukma XIX Perak di Kuala Nerus, semalam.