Dua atlet sukan tari negara, Sam Lee Jek (Lego Sam) dan Faridh Yasin (Khenobu) menagih sokongan semua pihak dan tumpuan menyeluruh terhadap sukan itu selepas mempamerkan persembahan memberangsangkan dalam Kejohanan Breakdance Dunia di Perancis minggu lalu.

Biarpun gagal menempatkan diri dalam kelompok 32 terbaik dunia, mereka masih dapat mengumpulkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Atas faktor itu, mereka berharap dapat melihat sukan itu diberikan pengiktirafan dan mendapat tempat sebagai antara sukan utama di negara ini.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Karl Nunis, Lego Sam berkata: "Rancangan saya adalah untuk menyertai lebih banyak kejohanan di luar negara untuk mendapatkan pengalaman sehingga Sukan Olimpik Paris 2024.

"Apa yang saya harapkan adalah Malaysia dapat memberikan kami lebih sokongan agar kami tidak lagi berlatih bersendirian tetapi mungkin mempunyai jurulatih dari luar negara -- jurulatih kecergasan atau pakar nutrisi -- untuk menjaga kami."

Khenobu pula menambah: "Kami memerlukan sokongan anda untuk kami meneruskan sukan ini.

"Saya tidak tahu apa untuk dikatakan tetapi kami amat menghargai seandainya negara kita memulakan langkah-langkah seperti mencuba untuk mengenali budaya ini.

"Kami berbesar hati untuk berjumpa anda yang menguruskan sukan di Malaysia secara empat mata.

"Kami gembira seandainya dapat mengadakan perbincangan dengan anda untuk bercakap mengenai sukan ini," katanya.

Sebagai rekod, Khenobu menamatkan saingan dalam Kejohanan Dunia di tempat ke-47 manakala Lego Sam pula mengakhir saingan di tempat ke-64.