Bekas ratu pecut negara, G. Shanti, menganggap kejayaan Zaidatul Husniah Zulkifli mencatatkan rekod baru kebangsaan 11.45 saat mampu mengembalikan sinar olahraga wanita yang suram sebelum ini.

Empat hari selepas catatan 11.36 saatnya tidak diiktiraf sebagai rekod baru kebangsaan kerana bantuan angin, Zaidatul Husniah kembali dengan larian 11.45 saat dalam Kejohanan ASA Speed Series di Bloemfontien untuk memastikan rekod kebangsaan menjadi miliknya, hari ini.

Dengan tiupan angin kini hanya 0.4 meter sesaat, Zaidatul dinobatkan ratu pecut negara yang baru dengan memadamkan catatan 11.50 saat milik Shanti yang dilakukan 24 tahun lalu.

"Saya turut tumpang gembira kerana akhirnya rekod saya dapat dipecahkan," kata Shanti.

Kepantasan yang ditunjukkan Zaidatul Husniah turut menerbitkan rasa optimis bahawa pelari berasal dari Kuala Nerang, Kedah, itu mampu menamatkan kemarau pingat emas pecut Sukan SEA yang kali terakhir dimenangi Shanti pada 1997 di Jakarta.

"Adalah bagus dia berpeluang untuk menang andai dia dapat mengekalkan prestasinya.

"Kita juga harus mengambil kira pencapaian atlet negara lain juga.

"Berdasarkan catatan 11.45, Zaidatul berpeluang cerah untuk memenangi emas," tambahnya.

Pada masa yang sama, ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas, yakin Zaidatul dapat melakukan catatan lebih pantas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

Ia 0.5 saat lebih pantas daripada rekod lama yang dilakar Shanti yang mencatatkan rekod kebangsaan dalam ujian kelayakan Sukan SEA di Stadium Merdeka pada Mei 1993.

Ia memberi petanda positif untuk kilauan pingat emas Sukan SEA dalam acara itu, Zainal percaya Zaidatul berupaya meningkatkan catatan masanya dalam temasya di KL nanti.

"Sebenarnya, seseorang itu mampu mencapai kemuncak prestasinya sebanyak dua kali, malah mampu mengulanginya sebanyak tiga kali dalam setahun.

"Jadi, April, Mei dan Julai khasnya, banyak pertandingan di Eropah di mana kejohanan olahraga sedang sibuk diadakan.

"Kami cuba untuk menyesuaikan program latihannya agar dia dapat mencapai kemuncak prestasi dalam masa yang sesuai dalam Sukan SEA nanti," katanya.

Keyakinan Zainal itu juga berlandaskan keupayaan seseorang atlet untuk mencapai prestasi terbaik di tahap berbeza, sekaligus menidakkan Zaidatul terlalu awal berada di kemuncak prestasinya ketika ini.

"Kita mengharapkan dia dapat mengulangi catatan masa 11.36 saat yang merupakan pencapaian yang baik.

"Kalau kita lihat catatan 11.45 saatnya, ia lebih baik berbanding atlet lain di Asia Tenggara ketika ini."