Pemain futsal Melaka United, Yazid Kamaruzuan, enggan mensia-siakan peluang keemasan untuk membuktikan kemampuan apabila disenaraikan buat kali pertama untuk kem latihan pusat skuad kebangsaan fasa dua sebagai persiapan ke Sukan SEA Kuala Lumpur.

Selepas lima hari bersama skuad kebangsaan menjalani latihan sejak 22 Mac lalu, Yazid menyifatkan dirinya semakin serasi beraksi di gelanggang, apatah lagi dia begitu selesa dengan tunjuk ajar pengendali, Chiew Chun Yong.

Pemain berdarah kacukan Australia ini yang kali pertama disenaraikan, akan memastikan kemampuannya diuji sebaik mungkin bagi terus menambat hati Chun Yong untuk kekal sehingga Sukan SEA.

Salah satunya adalah menerusi aksi persahabatan pertama mereka berdepan skuad Pahang esok.

"Saya telah menjalani latihan bersama skuad kebangsaan selama lima hari, ia adalah satu perasaan yang berbeza tetapi tidak menghadapi kesukaran untuk mendapatkan keserasian," katanya.

Jika terpilih untuk terus kekal dalam pasukan, Yazid positif Malaysia mampu meraih pingat emas dalam Sukan SEA edisi kali ini.

Berjaya menyaingi negara yang digeruni dalam arena futsal, iaitu Thailand, sewaktu Kejohanan AFF, Januari lalu, Malaysia kini di landasan tepat memburu kejayaan Ogos depan.

"Kami telah membuktikan mampu bersaing dengan Indonesia dan berjaya mendahului perlawanan ketika bertemu Thailand. Saya berharap persiapan ini mampu membantu kami meraih pingat buat Malaysia."