Atlet wusyu negara, Pang Pui Yee, mula memasang misi mempertahankan pingat emas acara qiang shu yang dimenanginya dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018, berikutan perkhabaran pelapis negara akan diutamakan untuk membarisi skuad kebangsaan ke Sukan SEA Hanoi 2021.

Pui Yee diduga kecederaan lutut 'anterior cruciate ligament (ACL)' ketika awal kemasukannya bersama skuad kebangsaan pada 2016.

Namun, atlet berusia 21 tahun itu membuktikan kecekalannya apabila berjaya meraih emas dalam acara qiang shu manakala perak menerusi acara chang quan dalam Sukma lalu.

"Ketika saya baru menyertai skuad kebangsaan, saya tidak dapat berlatih.

"Saya hanya menjalani proses pemulihan dan fisioterapi dan selepas sembuh, saya beraksi dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak dan Sarawak.

"Saya melihat gelagat mereka yang meraih pingat dan sangat gembira. Saya juga mahu melalui detik kejayaan seperti itu.

"Semangat yang ditiupkan kepada saya selain dapat mendengar lagu negeri dimainkan membuat saya ingin beraksi dalam Sukma," katanya dalam perkongsiannya bersama wartawan Nadi Arena, Haliza Hamzah, hari ini.

Atlet kelahiran Negeri Sembilan itu tidak dapat mengelak perasaan teruja jika berpeluang beraksi dalam Sukan SEA 2021, tetapi dia menyedari perlu meningkatkan usaha untuk membuktikan dia layak mewakili Malaysia di Vietnam kelak.

"Bagi saya yang penting ialah nasib.

"Kalau saya dapat memungut emas dalam Sukma Johor, maka saya akan terlibat dalam pemilihan ke Sukan SEA dan saya akan buat yang terbaik.

"Jika saya dapat pergi ke Sukan SEA, sudah semestinya saya akan berasa gembira kerana dapat berjumpa pihak lawan dengan pendedahan serta situasi berbeza daripada Sukma," tambahnya.