"Kalau juara Sukan Malaysia (Sukma) menang dengan lompatan setinggi 2.05 meter, tiada guna menghantar mereka ke Sukan SEA kerana mereka tidak akan menang pingat dengan catatan itu," kata pemenang pingat emas lompat tinggi dalam tiga edisi Sukan SEA berturut-turut, Nauraj Singh.

Jaguh negara itu, yang mendominasi acara berkenaan dalam edisi Singapura 2015, Kuala Lumpur 2017 dan Filipina 2019, bimbang Malaysia akan gagal mempertahankan pingat emas acara itu dalam edisi di Vietnam tahun depan sekiranya perancangan membawa juara Sukma Johor 2021 ke temasya itu dilaksanakan.

"Lompat tinggi adalah satu-satunya acara yang standardnya sangat tinggi untuk mana-mana atlet.

"Malaysia telah mendominasi acara ini sejak sekian lama. Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah meletakkan catatan pemenang pingat perak Sukan SEA terdahulu sebagai syarat untuk melayakkan diri.

"Kalau nak ikutan rekod, saya dan Lee Hup Wei melepasi lompatan setinggi 2.21m dalam temasya lalu. Ia adalah standard yang tinggi.

"Ada acara yang anda boleh menghantar atlet remaja daripada Sukma sekiranya standard mereka melepasi kateria itu.

"Ia sepatutnya berasaskan statistik dan kelayakan berbanding hanya menjadi juara SUKMA," katanya.



Kebimbangan Nauraj itu berasas kerana jika dibandingkan, pemenang emas Sukma Perak 2018, Norshafiee Mohd Shah, hanya mencatatkan lompatan setinggi 2.06m dan ia tidak cukup untuk mengatasi catatan pemenang pingat gangsa (2.15m) Sukan SEA tahun lalu.

"Ini adalah untuk legasi yang ingin kami tinggalkan bagi memberikan inspirasi kepada atlet muda.

"Sekarang kami masih tidak dapat melihat sesiapa yang dapat menggantikan saya dan Hup Wei.

"Tetapi mungkin ini adalah langkah yang penting untuk membawa atlet remaja bersama kami ke Sukan SEA.

"Ada dua slot untuk acara lompat tinggi, satu slot untuk mempertahankan pingat emas dan satu lagi adalah untuk anda melihat prestasi atlet muda dalam Sukan SEA," tambahnya.