Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mengakui berpuas hati dengan kerja-kerja akhir pembinaan Stadium Ais Nasional di Empire City yang masih dalam sasaran disiapkan sepenuhnya bulan depan.

Venue luncur ais bagi Sukan SEA Kuala Lumpur dari 19 hingga 30 Ogos depan menunjukkan perkembangan positif untuk digunakan bagi tujuan latihan atlet negara.

Tinjauan Nadi Arena mendapati permukaan di gelanggang berkenaan sudah dilitupi ais.

Walaupun beberapa kelengkapan lain, antaranya bilik persalinan belum siap sepenuhnya, Khairy tetap optimis venue itu itu dapat diserahkan hujung bulan depan.

"Permukaan ais mungkin akan dibuat sebanyak dua atau tiga kali lagi.

"Ia akan disiapkan sepenuhnya dan boleh digunakan oleh pasukan negara untuk mengadakan latihan.

"Oleh itu, pasukan negara mempunyai tempoh kira-kira sebulan lebih lagi untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di sini," ujarnya.

Khairy melakukan tinjauan di venue berkenaan bersama beberapa pegawai utama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan pihak kontraktor.

Walaupun ia dilakukan secara tertutup, kunjungan itu tetap memberi 1,001 makna buat Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM).

"Dengan lawatan Khairy ini, ia penanda aras di mana sejarah Sukan SEA akan tercipta di sini," kata Presiden ISAM, Fadzli Johan.